#COVID-19 Sarawak: Hampiri 500 kes positif sehingga hari ini

Sumber Foto: thestar.com.my

Sarawak hari ini mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 sehingga 496 orang pada penghujung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga hari ini, sejak kes pertama dikesan pada 13 Mac lalu.

Pada hari ini, lapan lagi kes positif baharu telah dilaporkan dengan empat kes berlaku di Kuching, tiga dari Samarahan dan satu kes dari Limbang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada lapan kes positif baharu itu, empat adalah dari Kluster Persidangan Kuching, dua dari kluster-kluster kecil, satu kes sporadik dan satu lagi masih dalam siasatan.

"Kes Limbang adalah bukti pentingnya kuarantin perlu dilaksanakan kerana pesakit itu dikuarantin di Limbang sekembalinya dia dari Brunei.

"Kes disaring pada hari ke-10 sebelum didapati positif dan dengan kes positif itu juga Limbang yang sebelum ini dikategori sebagai zon hijau kini menjadi zon kuning," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata, 11 kes disahkan sembuh  hari ini dan dibenarkan keluar dari hospital, iaitu enam daripadanya dari Hospital Umum Sarawak (HUS), empat orang dari Hospital Miri dan satu dari Hospital Sibu menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sehingga kini seramai 204 orang.

Beliau berkata, satu kes membabitkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kuching yang disahkan positif COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kini 53 orang.

Sementara itu, dua daerah di negeri ini masih berada dalam zon merah COVID-19 iaitu Kuching dan Kota Samarahan manakala sembilan daerah berada dalam zon kuning dan 29 dalam zon hijau.

Zon kuning ialah daerah Miri, Bau, Asajaya, Simunjan, Serian, Betong, Sri Aman, Bintulu dan Limbang.

Zon hijau pula daerah Tebedu, Lawas, Mukah, Matu, Sarikei, Sibu, Lundu, Saratok, Pusa, Kabong, Lubok Antu, Meradong, Julau, Pakan, Kanowit, Selangau, Tatau, Sebauh, Dalat, Daro, Tanjung Manis, Kapit, Belaga, Song, Bukit Mabong, Marudi, Subis, Beluru dan Telang Usan.