Anwar dan Mahathir sepakat untuk mengembalikan mandat rakyat


Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencapai kata sepakat untuk menolak perbezaan, sengketa dan kemelut demi mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

Dalam satu kenyataan bersama Mahathir dan Anwar menegaskan bahawa dua tahun lalu mereka berdua tidak berputus asa membawa suara rakyat hingga mencapai kemenangan pada PRU-14 yang lalu.

"Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi."

"Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya," kata kedua-dua pemimpin itu dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena ulangtahun kedua kemenangan Pakatan Harapan semasa PRU-14 yang lalu.

Mahathir dan Anwar turut menegaskan mereka menolak dan tidak mengiktiraf kerajaan yang ada pada hari ini iaitu Perikatan Nasional kerana ia ditubuhkan tanpa mendapat mandat daripada rakyat dan mengganggap ia adalah sebuah 'Kerajaan Pintu Belakang'.

Mereka berkata, kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan secara rundingan itu tidak diperolehi secara sah menurut kertas undi di dalam pilihanraya. "Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika kami untuk menyokong kerajaan hari ini,"

Kedua-dua pemimpin tersebut turut mengimbau ketika 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara dengan mendakwa telah melakukan reformasi dan institusi serta perubahan kepada negara.

Mereka berdua turut mendakwa ketika pemerintahannya, PH memastikan demokrasi itu subur dan salah satunya ialah kebebasan bersuara yang tidak pernah rakyat miliki sebelum ini.

"Jika rakyat bersuara, wakil rakyat harus sahut dan tiada seorang pun dihalang bersuara dengan alasan ‘tindakan undang-undang’.

"Kebebasan bersuara itu antara hadiah paling besar buat negara 2 tahun yang lalu. Rakyat sedar, bahawa tanggungjawab mentadbir negara ini adalah tanggungjawab bersama dan Ahli Parlimen hanyalah sekadar wadah yang membawa suara rakyat," jelas Mahathir dan Anwar.

Namun jelas Mahathir dan Anwar, mandat yang diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan akhirnya dijatuhkan pada Februari lalu tatkala wabak COVID-19 mula melanda negara.

"Kerajaan hari ini sanggup berbuat apa sahaja untuk mengumpul kuasa. Jawatan besar mula diagih, kuasa dan pangkat terus ditagih," katanya keduanya.

Mahathir dan Anwar juga mengingatkan bahawa tarikh 9 Mei harus diingat sebagai tarikh keramat mengangkat nasib dan masa hadapan rakyat serta melawan ketidakadilan dalam negera.

"9 Mei 2018 bukanlah satu peristiwa untuk memperingati penyatuan Mahathir atau Anwar," tegas dua pemimpin itu.


Jangan lupa untuk like dan share page Buletin Wawasan di halaman Facebook dengan menekan butang di bawah.


Jangan lupa untuk like dan share page Buletin Wawasan di halaman Facebook dengan menekan butang di bawah.