Solat Jumaat di Sarawak bermula minggu depan


KUCHING: Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha, berkata solat Jumaat akan dibenarkan diadakan di masjid-masjid seluruh negeri bermula 22 Mei ini, dengan syarat jumlah jemaah yang terhad dan semua pihak pengurusan masjid dan surau hendaklah mematuhi syarat-syarat lain yang telah ditetapkan.

Kebenaran tersebut dibuat selepas mendapat nasihat daripada Lembaga Fatwa Negeri Sarawak.

"Mereka yang dibenarkan itu ialah pegawai masjid iaitu imam, bilal dan merbot serta ahli jawatankuasa masjid itu sahaja dan mereka harus mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan oleh MIS," katanya pada sidang media khas di Majma' Mall hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau merayu agar semua pengurusan masjid dan surau memberi kerjasama untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan semua pihak.

"Kita masih lagi berperang dengan pandemik COVID-19 dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta majlis Keselamatan Negara (MKN) kita mengizinkan solat Jumaat diadakan dengan garis panduan yang amat ketat," katanya.

Beliau juga berkata bahawa solat sunat Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 24 Mei ini tidak akan dibenarkan dilakukan di masjid atau surau seluruh negeri.

Misnu menasihati agar semua umat Islam dapat mengadakan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing.

"Langkah tidak membenarkan solat sunat Aidilfitri di masjid itu diambil selepas kita menerima nasihat daripada Mufti Negeri, Datuk Kipli Yassin.

"Sehubungan itu, kita memohon agar umat Islam di Sarawak menerima hakikat ini dan kita boleh mengadakan solat sunat Aidilfitri di rumah bersama keluarga masing-masing," katanya.