KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dalam titah Baginda memberi penjelasan tentang perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ke-7.
Semasa merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini, YDP Agong menitahkan bahawa pada 24 Februari, sekitar jam 5:00 petang, Baginda telah berkenan untuk menerima menghadap Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohammad pada 24 Februari, sekitar jam 5:00 petang.
Dalam pertemuan tersebut, Baginda telah menitahkan agar Dr Mahathir tidak melepaskan jawatannya namun, beliau tetap dengan pendiriannya.
Justeru, Baginda menjelaskan bahawa Baginda bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti yang termaktub dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dimana Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada Agong yang memerintah untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Baginda bertitah, “lantaran itu, pada 25 dan 26 Februari 2020; Beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka."
“Pada 29 Februari 2020, Beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri,” titah baginda lagi.
Malah, Baginda juga turut melanjutkan tempoh masa bagi setiap parti politik mengemukakan calon mereka agar mendapat masa yang cukup dalam membuat perhitungan secara demokrasi.
“Lantaran itu, setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Beta telah mendapati Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8,” titah Baginda.
Malah, Al-Sultan Abdullah juga menegaskan bahawa Baginda telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara.
“Pada masa yang sama, Beta juga menghargai kematangan dan kerjasama semua ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat jelata yang telah memainkan peranan dengan penuh berhemah dan beretika sehingga membolehkan Beta menggalas amanah ini.
Dalam sidang perasmian itu juga, Al-Sultan Abdullah turut menaruh keyakinan kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, agar usaha-usaha membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan.
Agong turut menasihati agar Perdana Menteri dapat laksanakan amanah tersebut dengan jujur dan penuh tanggungjawab serta jangan sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata.