Zakat Fitrah Sabah: Tiada amil dilantik untuk pungutan zakat


Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai berkata, tiada sebarang kelulusan dikeluarkan untuk melantik amil bagi tujuan mengutip zakat fitrah tahun ini di Sabah. Beliau berkata lagi, "Saya dapat tahu kerajaan sudah mencadangkan amil-amil memungut sendiri, tetapi tiada kelulusan dari pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN)."

Justeru itu, umat Islam di negeri itu diminta menunaikan rukan Islam keempat iaitu zakat fitrah secara dalam talian atau online. Katanya lagi, bagi menjalani kehidupan normal baharu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bulan Ramadan, pembayaran boleh dibuat menerusi Maybank2u selain aplikasi telefon pintar seperti SnapNpay dan MyEg.

"Apa yang diputuskan oleh kerajaan akan diteruskan (bayar secara dalam talian) kecuali ada perubahan dibuat dan akan ada keluar arahan yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam majlis penyerahan sebanyak 170 peralatan perlindungan peribadi (PPE) sumbangan daripada Dewan Undangan Negeri (N18) Petagas kepada petugas barisan hadapan di Majlis Daerah Putatan (MDPTN), pada Jumaat.

Untuk rekod, kadar zakat fitrah tahun ini di Sabah, pihak Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengumumkan dua kadar berbeza iaitu RM7.50 dan RM6 bergantung kepada kemampuan pembayar atau ketua keluarga yang terkesan akibat PKP serta pandemik COVID-19.