PUTRAJAYA: Setakat hari ini, Malaysia telah mencatatan sebanyak 70 kes positif Covid-19 yang baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 6,726 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini turut memaklumkan daripada 70 kes terbabit, 13 adalah kes import manakala selebihnya adalah kes jangkitan tempatan.
Beliau turut menyatakan bahawa seramai 88 lagi pesakit jangkitan wabak itu telah sembuh dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh setakat ini sebanyak 5,113 orang atau 76 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Ini bermakna, Malaysia kini mempunyai 1,504 kes aktif yang berkebolehjangkitan masih menerima rawatan di pusat-pusat kuarantin seluruh Malaysia.
Daripada jumlah berkenaan juga, seramai 20 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tujuh daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Dalam perkembangan sama, Noor Hisham turut memaklumkan satu lagi kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah korban akibat wabak itu di Malaysia ialah seramai 109 orang bersamaan 1.62% daripada jumlah keseluruhan kes.
Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan semasa berada ditempat awam serta mematuhi segala peraturan dan SOP PKPB yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini.
