COVID 19 : Tiada kes baharu di Sarawak selama tujuh hari berturut-turut


Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam sidang media memaklumkan hari ini Sarawak tidak merekodkan sebarang kes positif COVID-19 selama tujuh hari berturut-turut sekaligus menjadikan jumlah kes positif kekal 544 kes.

Jelasnya lagi terdapat dua kes telah sembuh dan discaj hari ini dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Sibu.

"Jumlah keseluruhan kes postif COVID-19 yang telah sembuh dan discaj ialah seramai 439 kes atau 80.70 peratus," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Menurut Uggah, setakat hari ini terdapat sebanyak 41 kes orang di bawah siasatan (PUI) manakala sebanyak 32 kes masih menunggu keputusan makmal.

Tambahnya lagi, sebanyak 87 kes pesakit COVID-19 sedang dirawat di empat hospital iaitu HUS sebanyak 71 kes, Hospital Sibu (lapan kes), Hospital Bintulu (enam kes) dan Hospital Miri (dua kes).

"Daripada jumlah tersebut, satu kes dirawat di unit rawatan rapi," katanya sambil menambah 17 kes kematian setakat ini.

Sementara itu, Samarahan tidak mencatatkan sebarang kes positif dalam tempoh 14 hari yang lepas sekaligus daerah itu bertukar status kepada zon hijau dari zon kuning.

Ia menjadikan jumlah daerah berstatus kuning di Sarawak sebanyak lima buah setakat hari ini iaitu Kuching, Lundu, Tebedu, Serian dan Sibu serta sebanyak 35 buah daerah berstatus hijau.